RM3.4 bilion diperlukan baik pulih jalan rosak

Fadillah (duduk, kiri) bersama Saarani (berdiri, empat dari kiri) ketika meninjau keadaan jalan di FT004 JRTB Gerik-Jeli selepas Taklimat Lawatan Kerja Ke Laluan Persekutuan di Daerah Hulu Perak, di sini pada Isnin.
Fadillah (duduk, kiri) bersama Saarani (berdiri, empat dari kiri) ketika meninjau keadaan jalan di FT004 JRTB Gerik-Jeli selepas Taklimat Lawatan Kerja Ke Laluan Persekutuan di Daerah Hulu Perak, di sini pada Isnin.
A
A
A

GERIK - Kementerian Kerja Raya memerlukan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion bagi membaik pulih Jalan-jalan Persekutuan yang rosak di Semenanjung Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya bagaimanapun menyedari kekangan kewangan kerajaan yang perlu memberi keutamaan kepada keperluan lain.

Menurutnya, pihak kementerian akan mengemukakan kertas kabinet untuk mencari penyelesaian lebih konkrit dan komprehensif terhadap semua jalan yang dikategorikan sebagai jalan perlu dibina semula.

"Kita tak salahkan Kementerian Kewangan kerana buat masa ini memang menjadi cabaran kepada semua kementerian terhadap peruntukan diberikan berdasarkan kemampuan kewangan negara.

"Kita akan mencari jalan bagaimana nak membiayai bukan sahaja di Perak tetapi seluruh negara bagi mengenalpasti jalan-jalan yang patut dibina semula," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Lawatan Kerja Ke Laluan Persekutuan di Daerah Hulu Perak di Dewan Persidangan Gerik Seri Inai, di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fadillah berkata, kesemua Jalan-jalan Persekutuan yang dikenal pasti dijangka akan dibaik pulih menjelang tahun 2023.

Sementara itu, mengenai FT004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan, beliau mengakui aduan yang dibuat oleh pengguna jalan tersebut berasas setelah turun padang melihat keadaan laluan tersebut.

Menurutnya, kerja-kerja penurapan sementara laluan yang mengalami kerosakan teruk akan dilakukan segera bermula pada Sabtu ini.

"Memang kita sedar keadaan jalan itu sebab salah satunya lebuh raya ini dibina 40 tahun lepas, jadi kenderaan berat melalui jalan ini dan bila usia jalan 40 tahun, memang kena buat semula.

"Peruntukan yang diperlukan bagi bina baharu jalan ini sebanyak RM68 juta tetapi kita akan buat tampalan sementara yang lebih tebal sedikit di kawasan yang rosak teruk," katanya.

Fadillah dan Saarani turut meluangkan masa selama satu jam meninjau keadaan kerosakan jalan di sepanjang laluan tersebut.

Laluan Persekutuan FT004 merupakan Jalan utama Timur - Barat di Zon Utara Malaysia yang menghubungkan tiga negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan panjang keseluruhan jalan adalah 291.99KM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!