Hospital Tawau perlukan bekalan darah jenis O

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

TAWAU - Unit Tabung Darah Hospital Tawau di sini memerlukan sumbangan orang ramai bagi mengisi bekalan darah jenis O yang berdepan penyusutan di hospital tersebut.

Pakar Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Tawau, Dr Nurulhuda Abd Kadir berkata, bekalan stok darah itu menurun mendadak sejak beberapa hari lalu ekoran penggunaan tinggi oleh pesakit yang memerlukan transfusi darah.

"Ketika ini, tahap keperluan adalah sangat tinggi bagi kumpulan darah O berbanding kumpulan darah yang lain, tetapi individu kategori jenis darah lain juga boleh tampil menderma darah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, stok bekalan darah penting bagi membantu termasuk pesakit komplikasi semasa bersalin, talasemia, kanser, buah pinggang, leukemia, kes kemalangan serta pendarahan usus.

Dalam pada itu katanya orang ramai boleh melayari Facebook atau Instagram Tabung Darah Hospital Tawau bagi maklumat lanjut berkaitan waktu operasi, lokasi kempen derma darah dan perkembangan berkaitan perkhidmatan derma darah.

"Sama-samalah kita membudayakan amalan menderma darah bagi membantu pesakit yang memerlukan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!