Penerbangan ke Pangkor tangguh bukan sebab kurang pelancong

Saarani (dua dari kiri) bersama Fadillah (kanan) meninjau keadaan jalan Persekutuan yang rosak ketika lawatan kerja di Jalan Gerik- Jeli pada Isnin. - Foto Bernama
Saarani (dua dari kiri) bersama Fadillah (kanan) meninjau keadaan jalan Persekutuan yang rosak ketika lawatan kerja di Jalan Gerik- Jeli pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

GERIK - Kehadiran pelancong di Pulau Pangkor ketika ini begitu menggalakkan hasil usaha promosi secara berterusan pihak Tourism Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penangguhan penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor ketika ini bukan disebabkan kekurangan pelancong.

Menurutnya, kebanyakan pelancong memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri dan menaiki feri berbanding kapal terbang.

"Pelancong ada pilihan sama ada naik kapal terbang atau guna jalan darat kemudian naik feri. Dari segi promosi kita buat habis-habisan dan kita juga tahu tempahan bilik lebih daripada persediaan dan laluan feri penuh.

"Cuma syarikat penerbangan kena lebih kuat buat promosi untuk membolehkan orang naik kapal terbang," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Lawatan Kerja Ke Laluan Persekutuan di Daerah Hulu Perak di Dewan Persidangan Gerik Seri Inai, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar yang kecewa selepas tiada lagi penerbangan ke Pulau Pangkor dari Subang kerana kurang mendapat sambutan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan Perak akan menjadi tuan rumah kepada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang bakal diadakan di Kampung Gajah, Pasir Salak bermula 1 hingga 3 Julai depan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama menteri-menteri kabinet juga dijangka hadir memeriahkan majlis yang dijadual berlangsung di Litar Dato' Sagor selama tiga hari itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!