MPK digesa baiki sistem perparitan elak banjir kilat

Pihak JPP MPK menjalankan kerja pembersihan sampah dalam saliran di pekan Pelabuhan Klang yang menjadi punca banjir kilat. - Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
Pihak JPP MPK menjalankan kerja pembersihan sampah dalam saliran di pekan Pelabuhan Klang yang menjadi punca banjir kilat. - Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa untuk menyelesaikan masalah sistem perparitan sedia ada di pekan Pelabuhan Klang dan di hadapan pintu masuk Pelabuhan Selatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri bagaimanapun memuji pihak MPK yang mengambil tindakan segera terhadap aduannya pada Jumaat tentang banjir kilat yang berlaku di pintu masuk Pelabuhan Selatan di sini.

Menurutnya, MPK menerusi Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) membersihkan sampah di sekitar kawasan tersebut yang didakwa menyumbat sistem saliran dan menyebabkan banjir kilat pada petang Jumaat.

"Diharapkan tiada lagi pembuangan sampah di lokasi yang bukan tempatnya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang perlu diberi perhatian dan tindakan segera oleh Jabatan Kejuruteraan MPK seperti pembetung longkang yang pecah.

"Kajian semula tentang arah aliran air dalam sistem perparitan di pekan Pelabuhan Klang dan di hadapan pintu masuk Pelabuhan Selatan perlu dilakukan.

"Mohon tindakan segera diambil," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!