Sukarelawan Bencana Melaka siap siaga turun padang

Ashwad (dua dari kiri) bersama ahli Sukarelawan Bencana Melaka siap siaga turun padang hulur bantuan.
Ashwad (dua dari kiri) bersama ahli Sukarelawan Bencana Melaka siap siaga turun padang hulur bantuan.
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Bencana Melaka berazam untuk melaksanakan program kebajikan sebaris dengan agensi kerajaan di negeri ini.

Presidennya, Ashwad Abd Rahim berkata, pertubuhan yang mempunyai 77 ahli itu sentiasa bersiap siaga menghulurkan serta menyalurkan apa jua bentuk bantuan kepada golongan memerlukan di Melaka.

Menurutnya, bantuan itu sekali gus mampu menjadi pelengkap kepada agensi berkenaan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam pengurusan bantuan bencana.

"Sudah tiba masanya sukarelawan yang aktif sejak 2018 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada April lalu bergerak secara serius dan tersusun.

"Dengan usaha ini sekurang-kurangnya kita tidak mengharapkan agensi kerajaan semata-mata untuk memikul tugas memberikan bantuan, tetapi orang awam juga boleh bersama membantu seperti bencana," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Jelasnya, bantuan bencana dihulurkan itu bagaimanapun tidak terhad di negeri ini sahaja, malah akan bergerak ke negeri-negeri lain yang memerlukan khususnya ketika musim tengkujuh.

"Tugas kami adalah bila sampai ke tempat bencana sahaja, kita akan kenal pasti mangsa terlibat.

"Kita akan bawa mereka ke tempat selamat selain mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan tinggi," katanya.

Ujarnya, sukarelawan itu turut mempunyai pasukan asnaf untuk meringankan beban mereka seperti menguruskan pendaftaran pengajian anak-anak asnaf sementara mereka mendapatkan bantuan daripada agensi berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!