KITAB Pulau Pinang sedia kerjasama lawan rasuah
GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang menyokong misi Rasuah Busters dalam usaha mewujudkan kesedaran terhadap bahaya amalan rasuah di negara ini.
Rektornya, Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya tertarik dengan dengan agenda yang dibawa Rasuah Busters dalam memperkasakan intergriti sekali gus dapat membentuk nilai moral yang baik dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, KITAB Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk berkolaborasi bersama Rasuah Busters dalam menyemai kesedaran tentang bahaya najis rasuah dikalangan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangannya.
Beliau berkata, perkara sama akan turut diterapkan kepada pengurusan tertinggi institusi berkenaan termasuk melibatkan ahli lembaga pengarah.
"Menjadi keutamaan KITAB dalam melaksanakan tadbir urus yang baik bagi memastikan penyampaian yang berkesan sekali gus melahirkan pelajar yang bakal membanggakan semua dengan kejayaan.
"Misi yang dibawa oleh Rasuah Busters perlu disokong oleh segenap lapisan masyarakat bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahaya najis rasuah yang bukan sahaja boleh mengundang padah pada diri malah boleh meruntuhkan negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini selepas menerima kunjungan daripada konvoi #RasuahBusters baru-baru ini.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihaknya bersetuju dengan kempen 'Mak Kata Jangan' yang dibawa oleh Rasuah Busters yang pasti akan memberi kesan mendalam kepada masyarakat.
Jelasnya, didikan dari rumah atau sentiasa mengingati pesanan ibu atau emak juga antara pendekatan yang baik dalam memberi peringatan kepada semua untuk menjauhi perkara mungkar.
"Pasti kita akan ingat pesanan mak agar jangan salah gunakan kuasa, jangan menzalimi orang lain, jangan menipu atau jangan lakukan sesuatu yang menyalahi hak orang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!