Rumah Allahyarham Sudirman membesar kini terbiar
TEMERLOH - Rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di Kampung Tok Embun dekat Mentakab didakwa terbiar.
Keadaan terkini rumah penghibur terkenal itu selepas terbabit dalam kebakaran pada 2008 tular sekali gus mengejutkan netizen.
Tinjauan media ke lokasi kediaman Allahyarham Sudirman yang membesar di rumah itu pada Isnin mendapati rumah tersebut hanya tinggal beberapa struktur batu antaranya tangga.
Seorang lelaki yang tinggal berhampiran dengan rumah tersebut yang juga jiran kepada penyanyi itu, Mohamad Aliff Fikram Bahari, 31, ketika ditemui berkata, keadaan rumah Allahyarham Sudirman itu kini dipenuhi belukar dan semak-samun menyebabkan tiada ramai orang yang tahu lokasi rumah tersebut.
"Mungkin ada orang yang tidak berani masuk ke kawasan kediaman itu kerana keadaan semak-samun tersebut.
"Sebelum terlibat kebakaran pada 2008, rumah tersebut masih boleh dilihat," katanya.
Menurut Mohamad Aliff Fikram, dia baru berusia setahun ketika itu penyanyi tersohor itu meninggal dunia pada 22 Februari 1992.
"Ada pelajar universiti pernah datang ke sini (rumah Sudirman) untuk buat kajian ilmiah. Saya berpandangan, mungkin kira-kira dua tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Embun, Rahman Omar berkata, perancangan membaik pulih rumah itu pernah dibangkitkan bersama beberapa pihak namun tidak dapat diteruskan.
"Saya sendiri terkilan kerana usaha membaik pulih bagi mewujudkan satu monumen khas untuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad terhenti sekerat jalan," katanya.
Menurut Rahman, usaha itu dibangkitkan lebih 15 tahun lalu kerana rumah berkenaan boleh menjadi tarikan peminat Allahyarham Sudirman di seluruh negara.
"Allahyarham adalah ikon terkenal dan kebanggaan negara dan Pahang khususnya. Jadi, memang patut ada monumen seperti Rumah P Ramlee.
"Bagaimanapun usaha membaik pulih rumah itu perlu mendapat kebenaran daripada keluarga Allahyarham Sudirman," katanya.
Allahyarham Sudirman mengharumkan nama negara sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!