Pekebun durian maut, senapang patah meletup

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KULIM - [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik kebun durian ditemukan maut dipercayai terkena senapang milik sendiri dalam kejadian di kebun durian, Kampung Kongsi Dalam, Sungai Kob di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa berusia 70-an ditemui seorang penoreh getah kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dalam kebun terbabit.

Menurutnya, kedua-duanya dikatakan telah bertemu pada jam 7 pagi hari kejadian sebelum mangsa masuk ke kebun dikatakan mahu mengutip durian.

"Mangsa dikesan turut membawa senapang patah miliknya masuk ke kawasan kebun.

"Pemerhatian di sekitar lokasi kejadian terdapat sebuah pondok buruk berjarak kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa ditemukan terbaring," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, difahamkan pondok berkenaan sering digunakan mangsa sementara menunggu durian gugur.

"Hasil siasatan menjumpai sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa diletakkan di pondok terbabit.

"Pemeriksaan lanjut juga menjumpai selaras senapang patah di tepi dinding sebelah kanan dalam pondok tersebut di mana terdapat cebisan isi terlekat pada dinding pondok," katanya.

Menurut Mohd Redzuan, hasil semakan mendapati senapang patah terbabit didaftarkan atas nama mangsa.

"Hasil siasatan mendapati senjata terbabit telah meletup secara tidak sengaja.

"Bagaimanapun tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian berkenaan," katanya.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah pendarahan akibat tembakan.

"Laporan polis telah diterima dan kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!