Perlu ada kebenaran keluarga untuk jadikan rumah Sudirman galeri

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsuddin
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsuddin
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan Pahang mempertimbangkan untuk menjadikan rumah penyanyi tersohor Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di Kampung Tok Embun di sini sebagai galeri atau muzium.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun usaha itu perlu mendapat persetujuan daripada keluarga Allahyarham Sudirman terlebih dahulu.

Menurutnya, banyak perbincangan perlu dilakukan bagi tujuan tersebut

"Kita perlu mendapatkan persetujuan keluarga Allahyarham untuk menyerahkan rumah, tanah serta barang-barangan yang ada kepada pihak muzium untuk dijadikan galeri.

"Ia adalah harta persendirian dan jika waris keluarga Allahyarham memberikan keizinan, kerajaan negeri atau Muzium Pahang boleh menjadikannya galeri atau muzium," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian susulan tular keadaan rumah penghibur nombor satu Asia itu yang didakwa terbiar selepas terbabit dalam kebakaran pada 2008.

Situasi keadaan rumah tersebut menyebabkan netizen dan banyak pihak berharap supaya kerajaan negeri membantu membangunkan kembali rumah tersebut kerana ia boleh menjadi tarikan pelancongan khususnya di Temerloh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!