Selangor ambil inisiatif pulihara hutan paya bakau
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan pemuliharaan hutan paya bakau di negeri ini termasuk mengharamkan penebangan pokok di kawasan terlibat bagi tujuan komersil sebagai usaha memelihara alam sekitar.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian berkata, selain dasar kerajaan negeri yang tidak membenarkan pengeluaran atau penerokaan kayu bakau terutama di hutan simpan, terdapat penambahan keluasan kawasan pokok bakau melalui usaha dijalankan itu.
"Sebanyak 18,244 hektar hutan paya laut terdapat di Selangor meliputi kawasan Pelabuhan Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
"Setakat ini kawasan hutan paya laut yang dibangunkan mempunyai permit dan kelulusan sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani yang mengatakan dianggarkan 50 peratus hutan paya bakau negara sudah diterokai sejak sebelum kemerdekaan.
Wan Kamal ketika Majlis Pelancaran Inisiatif Pemuliharaan Hutan Bakau Yayasan CIMB-UKM di Taman Alam Kuala Selangor pada Ahad berkata, bagi menangani hutan paya bakau terus dicerobohi, pelbagai usaha perlu dilakukan termasuk melindungi dan mengekalkan kawasan sedia ada.
Mengulas lanjut, Loy Sian tidak menafikan terdapat unsur penebangan pokok secara haram, namun berjaya dipatahkan melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan.
Menurutnya, aktiviti tersebut bukan hanya berlaku di Selangor tetapi negeri-negeri lain turut menghadapi situasi sama.
"Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan pada waktu malam. Ada kalanya apabila penguat kuasa datang, mereka sudah lari.
"Penguat kuasa tidak mampu ronda 24 jam dan jika pantau sesuatu lokasi, mereka (peneroka) akan ke lokasi lain pula jadi aktiviti itu memang susah dikawal," katanya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) juga telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan lagi pemuliharaan 26 hutan paya laut di sepanjang kawasan pesisir pantai dari Sabak Bernam sehingga ke Sepang.
Menurutnya, sebanyak RM750,000 dan tambahan peruntukan Persekutuan sebanyak RM125,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 diterima bagi program pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan hutan paya laut dan pesisir pantai.
"Hampir 80 hektar kawasan hutan paya laut (bakau) terosot yang dikesan telah ditanam semula oleh JPNS antara tahun 2010 hingga 2022.
"Bilangan pokok yang berjaya ditanam dalam tempoh ini adalah lebih kurang sebanyak 200,000 pokok, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!