Timbalan pengarah berdepan 46 tuduhan rasuah, salah guna kuasa

Mahriyatty (kiri) tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat. - Foto Astro AWANI
Mahriyatty (kiri) tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat. - Foto Astro AWANI
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM55,020 antara 2019 hingga 2021.

Mahriyatty Bahrin, 42, yang juga Jurutera Awam Gred J44 di Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Sabah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Mahriyatty berdepan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, empat pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mahriyatty berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, wanita berkenaan turut berdepan dengan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa secara rasuah telah memperoleh suatu suapan sebagai dorongan untuk meluluskan Sijil Taraf Bumiputera (STB) kepada beberapa kontraktor di negeri ini.

Mahriyatty didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Cawangan Sipitang dan Maybank Cawangan Karamunsing di dalam daerah Kota Kinabalu antara 2019 hingga 2021.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam masa dua bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussien Ahmad Shah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!