Sasaran Sukan Universiti ASEAN 2022 diumum akhir Jun

Pekan
Pekan
A
A
A

SASARAN pingat kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dijangka diumum akhir bulan ini selepas Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia selesai menganalisis senarai akhir atlet bertanding.

Pengerusinya, Dr Pekan Ramli berkata, analisis tersebut dibuat bagi mengenal pasti sejauh mana kekuatan kontinjen negara lain sebelum memperincikan sasaran pingat kem Malaysia pada temasya di Ubon Ratchathani, Thailand dari 26 Julai hingga 8 Ogos itu.

“Perkara itu (sasaran) masih dibincangkan kerana belum ada senarai akhir, jumlah kontinjen dari luar negara dikeluarkan, jadi kita akan tunggu dahulu.

“Selepas melihat kepada senarai tersebut, kita akan membuat analisis sejauh mana cabaran atlet luar negara yang akan kita harungi. Sasaran akan ditetapkan kemudian kerana tidak mahu meletakkan sembarangan sasaran,” katanya.

Pekan berkata, penetapan sasaran pingat perlu munasabah berikutan beberapa kekangan termasuk kebanyakan atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam baru-baru ini difahamkan tidak akan menyertai temasya itu.

“Selain itu, dalam tempoh tersebut akan ada Kejohanan Silat Dunia di Melaka dan Sukan Komanwel, Birmingham. Ada atlet yang tidak akan menyertai AUG, maka kami belum meletakkan sasaran pingat,” ujarnya.

Pada temasya AUG 2022, seramai 285 atlet negara dijangka menyertai 19 acara sukan termasuk badminton, renang, karate, bola sepak, olahraga dan memanah.

Pada edisi 2018 di Myanmar, kontinjen Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas meraih 37 pingat emas, 43 perak dan 49 gangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!