Syed Saddiq mohon doa rakyat Malaysia

Syed Saddiq berharap institusi kehakiman dapat membersihkan namanya dan keluarga dari kes berkenaan.
Syed Saddiq berharap institusi kehakiman dapat membersihkan namanya dan keluarga dari kes berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon doa rakyat Malaysia bagi mengikuti perbicaraan kes pecah amanah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter miliknya, Syed Saddiq turut berharap institusi kehakiman dapat membersihkan namanya dan keluarga dari kes berkenaan.

"Akhirnya selepas dua tahun setengah disiasat (hingga) ke lubang cacing, saya akan diberikan peluang esok (Selasa) untuk membela diri di mahkamah.

"Berani kerana benar. Saya menyertai politik untuk bersihkan politik, membina Malaysia yang maju, bermaruah, berintegriti.

"Nak tekan dan ugut, ugutlah. Selagi percaya bahawa kita di jalan yang benar, semua akan berjalan dengan baik," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula pada Selasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

Pada 22 Julai 2021, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!