West Ham sambar khidmat Aguerd perkukuh benteng The Hammers
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United menandatangani pemain pertahanan Nayef Aguerd dari kelab Ligue 1 Perancis, Stade Rennais dengan kontrak lima tahun, kata kelab London tersebut.
Laporan media tempatan berkata, West Ham membayar Rennes 30 juta pound termasuk nilai tambahan untuk pemain Maghribi berusia 26 tahun itu.
"West Ham adalah kelab bersejarah. Saya menyaksikan beberapa perlawanan The Hammers tahun ini, dan melihat para penyokong dan suasananya stadium yang hebat," kata Aguerd.
Untuk rekod, Aguerd watak penting Rennes musim lalu, membuat 40 penampilan dalam semua kejuaraan musim lalu yang menyaksikan Les Rouge et Noir kendalian Bruno Génésio menduduki tempat keempat liga dan mara ke pusingan 16 terbaik Liga Konferensi Europa.
Bek tengah itu, yang menyertai Rennes dari Dijon pada 2020, mempunyai 25 penampilan bersama skuad Maghribi sejak membuat penampilan sulung pada 2016.
Untuk rekod, The Hammers kendalian David Moyes menamatkan saingan liga di tempat ketujuh dan mara ke separuh akhir Liga Europa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!