Lelaki seksa kucing kerana gangguan emosi
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki bertindak keterlaluan dengan cara menendang dan membaling objek terhadap kucing dalam kejadian di Semeling, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kucing di hadapan premis tempat kerjanya.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku di Taman Semeling Maju, Bedong pada jam 1.09 pagi pada Sabtu berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Susulan itu, satu tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun di rumahnya dekat Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Kedah pada jam 1.29 petang Isnin," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zaidy, hasil soal siasat awal dijalankan, suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.
"Temu bual awal dengan ahli keluarga suspek juga mendakwa lelaki tersebut adalah seorang pencinta kucing dan telah banyak memelihara haiwan tersebut di rumah sebelum ini," katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu, suspek didakwa bertindak menendang dan membaling objek dipercayai batu ke atas dua ekor kucing di kaki lima premis kedai bangunan tersebut.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah telah bertindak menyelamatkan kucing tersebut seterusnya dibawa untuk rawatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap haiwan.
Kes juga disiasat bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!