Terima sahajalah jika dinding rumah kena roboh

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SETIAP orang mempunyai impian dan keinginan untuk hidup selesa, antaranya memiliki rumah yang luas mengikut ke-mampuan, namun terdapat segelintir yang mengubah suai kediaman masing-masing sesuka hati dan perbuatan itu sebenarnya melanggar undang-undang.

Kebanyakan mereka mengambil mudah aspek keselamatan sekeliling dengan membina struktur berlebihan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus menafikan hak orang lain jika berlaku kecemasan.

Apabila berdepan tindakan undang-undang, mulalah mengeIuh dan menyalahkan pihak berkuasa, sedangkan pemilik sendiri yang mengambil jalan mudah.

Merak Jalanan puji tindakan agensi kerajaan yang berani mengambil risiko termasuk cemuhan apabila merobohkan struktur binaan kekal pemilik rumah yang sekian lama dibina mereka itu yang sememangnya melanggar undang-undang.

PBT mempunyai kuasa mengikut Akta 133 dan Akta 757 untuk merobohkan struktur tambahan sekiranya ia bakal mendatangkan pelbagai risiko serta masalah kepada penduduk setempat.

Ada yang menambah struktur lebih daripada keluasan asal dan mengambil kawasan awam untuk dijadikan ruang rumah mereka sendiri.

Malah, ada yang tanpa rasa bersalah menambah struktur seperti membuat bilik tambahan atau meluaskan ruang tamu pada tingkat atas yang sememangnya mengundang padah.

Itulah juga keadaan yang sedang dialami salah seorang rakan Merak Jalanan. Dia membuat tambahan dinding pada balkoni rumahnya.

Kini dia risau apabila PBT di kawasannya sudah mula menghantar notis agar mengembalikan kediaman yang telah diubah suai kepada binaan asal.

Apa pun, katanya dia bersedia dengan sebarang kemungkinan dan keputusan yang akan diambil sekiranya mereka gagal menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Terima sahajalah jika dinding kena roboh dan rumah ‘melopong’ jika PBT ambil tindakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!