Mintah perkuat serangan KL City

Jordan Mintah
Jordan Mintah
A
A
A

KEHADIRAN penyerang Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah secara pinjaman mampu membantu memantapkan lagi jentera serangan Kuala Lumpur City FC (KL City) bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, kehadiran pemain kelahiran Ghana berusia 27 tahun itu dilihat tepat pada masanya bagi membantu The Hawks bersaing dalam kempen Piala AFC 2022.

“Saya boleh mengesahkan kami telah berjaya mendapatkan khidmat Mintah secara pinjaman daripada TFC II dan dia akan menggunakan jersi bernombor 9.

“Dia boleh beraksi dalam baki saingan Liga Super musim ini. Dalam saingan Piala AFC pula, dia tidak layak beraksi di peringkat kumpulan kerana kami tidak sempat mendaftarkan namanya.

“Bagaimanapun, Mintah hanya boleh beraksi dalam saingan Piala AFC sekiranya KL City berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Stanley menjelaskan, pihak pengurusan KL City telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan khidmat Mintah sejak Disember tahun lalu.

“Sebenarnya kami sudah buat permohonan awal kepada TFC untuk mendapatkan khidmat Mintah.

“Tujuannya supaya dia boleh beraksi lebih lama dengan KL City.

“Apa pun, kami amat berharap kehadiran Mintah mampu menambah kekuatan serangan KL City di Terengganu. Dia sudah membuktikan kehebatannya, jadi kami harap dia mampu membuktikan sesuatu bersama KL City,” jelasnya.

Pada saingan Piala AFC 2022, KL City yang tampil sebagai tuan rumah diundi dalam Kumpulan H bersama kelab dari Indonesia, PSM Makassar dan wakil Singapura, Tampines Rovers.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!