Upah kopek bilis RM200 sebulan sara tiga beranak
PORT DICKSON - Masalah tulang pinggul retak akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu menyebabkan seorang wanita kini tidak lagi berupaya untuk melakukan kerja berat bagi mencari rezeki.
C Makesvary, 39, berkata, dia yang kini mengambil upah mengopek ikan bilis bersama dua anaknya berusia 15 dan tiga tahun pernah terputus bekalan makanan awal bulan lepas selepas tidak mampu menampung perbelanjaan harian.
"Akibat kemalangan pada Oktober tahun lalu, tulang pinggul saya retak dan dimasukkan besi. Saya akan merasa sakit jika berdiri atau duduk terlalu lama.
"Kini saya mengambil upah mengopek ikan bilis untuk menyara keluarga dengan bayaran RM200 sebulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan keperluan harian daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Perkasih N9 di rumahnya di Taman Jimah Jaya pada Isnin.
Tambah wanita itu, selain pernah mengikat perut, dia dan anak-anak juga kerap hanya makan nasi dengan lauk telur goreng.
Menurut Makesvary, dia menerima bayaran pencen mendiang suami pertama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM500 sebulan, namun ia digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM500.
"Selain itu, saya juga perlu membayar bil air RM343 dan bil api RM741 yang tertunggak sejak lapan bulan lalu serta sewa rumah tertunggak sebulan.
"Jiran-jiran ada membantu dengan menghulurkan makanan dan saya sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!