Pengecualian sewaan kantin, premis KPM dilanjut
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pengecualian sewaan kantin dan premis di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilanjutkan lagi bagi tempoh enam bulan bermula 1 Julai ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelanjutan tempoh tersebut bertujuan untuk membantu pengusaha kantin dan penyewa yang sedang dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.
"Dua tahun yang lalu merupakan satu tempoh amat sukar bagi pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah KPM, dengan mengambil kira situasi semasa kementerian melanjutkan pengecualian sewaan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember depan," katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik di laman sosialnya pada Selasa.
Pada 9 Januari lalu, Mohd Radzi mengumumkan pengecualian kadar sewaan kantin dan premis di sekolah selama enam bulan dan ia berakhir hujung bulan ini.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pengusaha kantin merintih terbeban dengan kadar sewaan penuh antara RM1,600 sehingga RM2,800 sebulan mulai Januari 2022 meskipun sekolah melaksanakan sistem penggiliran kehadiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!