Ikan pari air tawar terbesar dipercayai ditangkap di Kemboja

Seekor ikan pari air tawar gergasi berjaya ditangkap di timur laut Kemboja pada 13 Jun lalu. - Foto Wonders of the Mekong
Seekor ikan pari air tawar gergasi berjaya ditangkap di timur laut Kemboja pada 13 Jun lalu. - Foto Wonders of the Mekong
A
A
A

PHNOM PENH - Seekor ikan pari air tawar yang dipercayai yang terbesar di dunia berjaya ditangkap oleh seorang nelayan tempatan di Kemboja pada 13 Jun lalu tetapi hanya didedahkan pada Isnin.

Pendedahan itu dibuat oleh saintis-saintis dari negara Asia Tenggara itu dan Amerika Syarikat (AS).

Panjang ikan pari yang ditangkap itu dari muncung ke ekor ialah 3.96 empat meter manakala beratnya 299.82 kilogram (kg), menurut kenyataan oleh Wonders of the Mekong iaitu sebuah yayasan dianggotai oleh saintis-saintis Kemboja serta AS.

Ikan pari yang ditangkap di Sungai Mekong itu dipercayai sebagai ikan air tawar terbesar pernah ditangkap setakat ini.

Seorang nelayan tempatan, Moul Thun, 42 dilaporkan berjaya menangkap ikan pari air tawar gergasi itu di selatan Stung Treng, timur laut Kemboja.

Nelayan itu memaklumkan penemuan tersebut melalui telefon kepada pasukan saintis dari projek Wonders of the Mekong yang melakukan penyelidikan di sungai tersebut.

Para saintis tiba beberapa jam selepas mendapat panggilan dan kemudian mengukur berat dan panjang ikan berkenaan.

Bagaimanapun, ikan itu kemudian dilepaskan kembali ke sungai itu.

Pada tahun 2005, seekor ikan air tawar gergasi berjaya ditangkap oleh nelayan di Sungai Mekong di Thailand yang mempunyai berat 293 kilogram.

Ikan air tawar gergasi Mekong sepanjang 2.71 meter itu ditangkap pada 1 Mei 2005 oleh penduduk kampung di Chiang Khong iaitu sebuah daerah terpencil di utara Thailand dan beratnya ditimbang oleh pegawai Jabatan Perikanan Thailand. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!