Tunku Puteri Intan Safinaz dilantik Ahli Lembaga Pentadbiran IFRC

Tunku Puteri Intan Safinaz
Tunku Puteri Intan Safinaz
A
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pentadbiran Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Pertubuhan (IFRC).

Beliau yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) itu merupakan salah seorang daripada lima wakil Asia yang dipilih bagi jawatan tersebu pada Perhimpunan Agung IFRC Ke-23 di Geneva, Switzerland.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, beliau berharap pelantikan itu dapat membantunya bagi menyokong aspirasi agenda belia melalui kerjasama dengan Lembaga Pentadbiran IFRC.

“Kami telah mengundi dan membuat pilihan yang baik untuk Lembaga Pentadbiran supaya dapat bekerjasama dengan baik bersama Pertubuhan Kebangsaan (BSMM),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas mengenai kedudukannya dalam mewakili Malaysia dan rantau Asia Pasifik, keutamaan akan diberikan terhadap usaha menjadikan belia sebagai pemangkin kepada perubahan.

Beliau berkata, aktiviti kemanusiaan yang bertujuan bagi mencegah dan mengurangkan penderitaan manusia juga akan terus dilaksanakan di samping turut menyumbang kepada usaha mempromosi keamanan dunia.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BSMM, Hakim Hamzah berkata, pihaknya akan berusaha melaksanakan dasar untuk pembangunan belia Malaysia memandangkan kumpulan tersebut menyumbang kepada sekurang-kurangnya 70 peratus ahli pertubuhan itu.

Pada masa sama, beliau memaklumkan individu lain daripada Asia dipilih ke jawatan itu ialah Otohiko Hori dari Jepun, Kerry Nickels (New Zealand), Mejar Jeneral (B.) Abdul Wahab (Bangladesh) dan Jalal Mohammed Al Owaisi (Arab Saudi).

Katanya, Franceso Rocca dari Itali mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua sebagai Presiden IFRC dan perwakilan juga memilih Maha Barjas Al-Barjas dari Kuwait sebagai Naib Presiden bagi Rantau Asia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!