Rumah Pengarah Hospital Kemaman terbakar
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, anggota penyelamat menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.49 malam sebelum menggerakkkan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Chukai dan BBP Kemaman ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian Pengarah Hospital berkenaan tiada di rumah kerana mempunyai tugasan rasmi di Kuala Lumpur.
"Dua anak dan isteri yang berada di rumah berjaya menyelamatkan diri lebih awal dan tiada mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut Mohd Zailani, kebakaran dipercayai berlaku di sebuah bilik di dalam rumah sebelum api merebak ke ruang tamu dan stor melalui siling.
"Operasi memadam kebakaran ini agak mencabar kerana kerangka bumbung yang berkayu menyebabkan api cepat merebak.
"Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penyelanat berjaya menyelamatkan rumah itu daripada terbakar 100 peratus," katanya.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 1.45 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebuah rumah inap (homestay) telah disediakan untuk didiami keluarga tersebut selama tiga hari.
"Kita harap mereka semua tabah dengan dugaan ini. Saya difahamkan, selepas ini mereka sekeluarga akan berpindah masuk ke kuarters kosong di Hospital Kemaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!