Ibu harap suspek dapat balasan setimpal

Rohaya menunjukkan gambar anaknya yang kini menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu pada Selasa.
Rohaya menunjukkan gambar anaknya yang kini menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada kanak-kanak empat tahun yang dilaporkan kritikal akibat kandungan dadah dalam badan berharap suspek yang melakukan perbuatan terhadap mangsa mendapat pembalasan setimpal.

Ibu kanak-kanak tersebut, Rohaya Hasan, 36, memberitahu tidak menyangka kejadian tersebut berlaku terhadap anak bongsunya itu apatah lagi dia merupakan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom Down.

Menurutnya, keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri itu menyebabkan dia berasa bimbang serta buntu memikirkan nasib menimpa mereka sekeluarga.

"Saya berharap anak dapat pulih seperti biasa dan sepupu yang mengakibatkan keadaan dia jadi begini akan mendapat pembalasan yang wajar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai kejadian, Rohaya memberitahu dia meninggalkan anaknya yang baru boleh berjalan dengan datuk mangsa yang kebetulan tinggal bersama.

"Saya dimaklumkan ayah (datuk mangsa) tertidur dan tidak sedar anak diambil oleh sepupu.

"Apabila saya pulang, ayah memberitahu sepupu membawa anak ke sungai untuk berjalan-jalan.

"Suspek bukan bapa saudara anak tetapi sepupu saya," katanya.

Menurutnya, semasa dibawa pulang, anaknya berada dalam keadaan lemah dan menyangka dia letih kerana bermain di sungai.

Bagaimanapun katanya, selepas melihat anaknya tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal, dia terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Umpama jatuh ditimpa tangga, Rohaya yang menghidap kanser payu dara tahap lima sejak enam tahun lalu berkata, keadaan itu menyukarkan mereka sekeluarga apatah lagi dia tidak bekerja serta mengharapkan bantuan ayah yang bekerja sebagai penoreh getah.

Dalam masa sama, Rohaya turut bertanggungjawab menjaga ketiga-tiga anaknya yang berusia empat, 13 dan 17 tahun seorang diri.

"Saya ada suami tetapi tidak tahu dia berada di mana sekarang serta sudah lama tidak berhubung," katanya.

Rohaya berkata, kejadian menimpa mereka itu juga menyebabkannya tidak mempunyai selera makan dan hanya menangis mengenangkan nasib anak bongsunya itu.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat terdapat kandungan dadah dalam badan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini terpaksa ditidurkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!