Samirah, dua remaja tidak menjurus kematian Nazrin: Hakim

Samirah Muzaffar (dua, kanan) balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, selepas hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskannya bersama dua remaja atas pertuduhan membunuh Nazrin.- Foto Bernama
Samirah Muzaffar (dua, kanan) balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, selepas hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskannya bersama dua remaja atas pertuduhan membunuh Nazrin.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, tidak dapat menerima hujahan Samirah Muzaffar dan dua remaja dilihat kali terakhir bersama Nazrin Hassan, menjurus ke arah kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, empat tahun lalu.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Ab Karim berkata, tiada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka melakukan pembunuhan itu.

Perkara itu katanya, mestilah mempunyai kesinambungan antara Samirah dan dua remaja itu dengan jenayah yang didakwa berlaku.

“Pihak pendakwaan hanya membuat andaian berhubung kebersamaan terakhir mangsa dengan isterinya dan dua remaja pada waktu yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Memandangkan ia hanya satu syak wasangka maka mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan teori orang terakhir bersama si mati,” katanya.

Selain itu beliau berkata, seorang saksi pendakwaan memberi keterangan yang bertentangan waktu kejadian.

Sekali gus katanya, ia menunjukkan pendakwaan gagal menunjukkan mangsa meninggal dunia antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

“Menyentuh isu petrol di lokasi kejadian pula, seorang saksi menyatakan terdapat tong berisi cecair.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati, pendakwaan gagal menunjukkan kaitan tong itu dengan ketiga-tiga tertuduh malah ahli kimia tidak dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang saksi memberitahu bahawa, tiada kesan jelaga ditemui pada mangsa, yang mana dirumuskan Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran.

Tambahnya, tiada tanda menunjukkan mangsa cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut.

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membebaskan Samirah dan dua remaja daripada tuduhan membunuh Nazrin.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap di akhir kes pendakwaan.

Difahamkan, pihak pendakwaan akan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung rayuan kes keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan Samirah dan dua remaja dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.

Isteri Nazrin iaitu Samirah, 47, serta dua remaja masing-masing berusia 20 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45 (ketika kejadian), di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!