Muafakat Nasional: Pas tidak wajar 'ugut' UMNO

Mahdzir (tiga dari kiri) menyerahkan sijil dan cenderahati kepada pelajar SMK Padang Terap yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mahdzir (tiga dari kiri) menyerahkan sijil dan cenderahati kepada pelajar SMK Padang Terap yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
A
A
A
KUALA NERANG - Pas tidak wajar membuat kenyataan berbaur ugutan terhadap UMNO berhubung kerjasama dua parti itu di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana persaudaraan yang terjalin dibina atas keikhlasan, bukannya atas ugutan.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin parti berkenaan hendaklah lebih harmoni ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan MN yang diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.

“Sebenarnya tak boleh ada ugut-mengugut. Lebih baik kita bercakap benda yang baik-baik sikit untuk membina kebaikan daripada kita membuat kenyataan yang seakan ugutan,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap di sini pada Selasa.

Mahdzir berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipetik berkata, Pas yakin keengganan UMNO untuk mempertahankan MN akan mengakibatkan parti itu ditolak pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah itu turut menegaskan, perpaduan ummah yang menjadi teras kepada penyatuan MN itu akan mendapat sokongan rakyat sebagaimana Pas yang tidak berputus asa mempertahankan MN walaupun ia dilihat seperti ‘retak menanti belah’.

Tambah Muhammad Sanusi, ia selari dengan matlamat Pas yang berpendirian bahawa perpaduan ummah penting untuk mengukuhkan kuasa politik orang Melayu.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, adalah lebih manis sekiranya kedua-dua pemimpin berbaik-baik sesama sendiri dan menggunakan perkataan yang harmoni bagi mengelak sengketa berpanjangan.

“Nasihat saya kepada Menteri Besar Kedah, eloklah kadang-kadang cari perkataan yang harmoni sikit. Gunakan perkataan yang lebih harmoni sebab tidak akan jadi baik kalau kita hari-hari gunakan perkataan yang tidak baik.

“Kalau hari-hari maki orang, orang pun rasa macam mana? Macam mana kita nak berbaik? Tapi kalau kita maniskan cakap benda elok-elok yang harmoni, benda yang tak elok pun akan jadi baik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, biarpun ugutan merupakan sebahagian daripada kehidupan ahli politik, namun ia tidak perlu dibudayakan.

Mengulas sama ada MN dapat diselamatkan daripada terus retak dan berkubur, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu tegaskan, ia bergantung kepada kepimpinan kedua-dua parti.

“Ini bukan soal selamat atau tidak lagi, situasi sekarang ibarat telur di hujung tanduk. Ia berkait dengan masa depan ummah, bukan sahaja antara UMNO dan Pas.

"Masa depan survival bangsa ada di situ, soal jadi atau tak jadi Muafakat Nasional itu perkara kedua, yang lebih besar adalah tentang survival bangsa," katanya.

Mahdzir menegaskan, sebelum ini tiada muafakat antara UMNO dan Pas, tetapi kerajaan pada waktu itu tetap meneruskan agenda negara bangsa ini.

"Tidak ada muafakat pun waktu itu boleh hidup, maknanya bukan sesuatu yang mesti tetapi kalau mahukan keharmonian, carilah jalan,” katanya lagi.

Mahdzir berkata, sebelum dimeterai gagasan MN, masing-masing membawa haluan sendiri dan berdiri sebagai sebuah parti politik dengan dasar dan perjuangan berbeza.

“Yang ada hanyalah parti-parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan cara masing-masing bawa diri, kemudian datanglah satu era di mana ada Muafakat Nasional.

“Tetapi kalau pemimpin asyik bercerita hal-hal buruk dan negatif hari-hari macam itu, bagaimana nak kekalkan MN itu? soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!