Sembilan ditahan bantu siasatan kanak-kanak kritikal dadah
KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan sembilan penagih menerusi Op Tapis Khas bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang belum sedarkan diri disebabkan tubuhnya mengandungi dadah jenis methampethamine.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua penagih berusia 18 hingga 40 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Kampung Sri Mahligai, Dabong di sini pada awal pagi Selasa.
"Dalam serbuan itu polis turut merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM1,000.
"Polis turut merampas kereta jenis Proton Saga milik bapa sepupu kepada kanak-kanak berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat kanak-kanak berkenaan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada Selasa.
Turut hadir Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan, Datin Suzana Yashin.
Menurutnya, kereta tersebut akan dihantar ke unit forensik untuk pemeriksaan lanjut selepas pihaknya mendapati suspek berada bersama mangsa ketika mengambil dadah terbabit.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebihan dadah di dalam kereta tersebut dan siasatan lebih mendalam sedang dilakukan.
Muhamad Zaki berkata, setakat ini polis tidak dapat mengenalpasti bagaimana bahan terlarang itu dimasukkan ke dalam badan kanak-kanak berkenaan.
"Mohon semua bersabar dan menunggu laporan penuh daripada mereka yang pakar. Marilah kita sama-sama doakan semoga kanak-kanak ini cepat sembuh," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat dadah.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang menerima rawatan di HRPZII di sini terpaksa ditidurkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!