Tiada peniaga, pekerja warga asing di Pasar Borong KL: DBKL

Tiada pekerja dan peniaga warga asing dikesan di Pasar Borong Kuala Lumpur. - Gambar fail
Tiada pekerja dan peniaga warga asing dikesan di Pasar Borong Kuala Lumpur. - Gambar fail
A
A
A
KUALA LUMPUR - Lebih 1,500 pekerja dan peniaga warga asing berjaya dikeluarkan daripada Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) antara Mac 2020 hingga Disember 2020 menerusi program pemutihan yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, tindakan itu dibuat menerusi pemerkasaan Undang-undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 ketika penularan Covid-19.

Menurutnya, satu pasukan 'task force' dibentuk khusus bagi memantau peniaga warga asing selain kawalan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi.

"Insya-ALLAH setakat kita maklum tiada pekerja asing dalam PBKL.

"DBKL berusaha keras supaya tiada warga asing bekerja dalam PBKL. Mungkin ada yang membawa masuk (pekerja asing) secara curi-curi dan kadang kala perkara itu tidak boleh dielak.

"Namun, jika ada kita akan tangkap kemudian diberikan surat tunjuk sebab kepada pemegang lesen dan ada kes yang lesen mereka dibatalkan," katanya selepas pelancaran buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur - Menjana Ekonomi Norma Baharu pada Selasa.

Mahadi (tengah) melancarkan buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur - Menjana Ekonomi Norma Baharu pada Selasa.
Mahadi (tengah) melancarkan buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur - Menjana Ekonomi Norma Baharu pada Selasa.

Buku tersebut menghimpunkan dokumentasi mengenai pengalaman pelaksanaan norma baharu di PBKL ketika pandemik.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di Lobi Menara DBKL 1.

Mengulas lanjut Khairul Anuar berkata, aduan berhubung pekerja warga asing dalam kawasan pasar borong semakin berkurang susulan penguatkuasaan tegas yang dilakukan.

"Jika ada aduan, kita akan jalankan siasatan. Pekerja pasar borong ini diberikan pas dan t-shirt seragam bagi memudahkan pemantauan dilakukan," katanya.

Tambahnya, kekosongan warga asing itu telah diisi pekerja tempatan dan setakat ini tiada masalah kekurangan tenaga kerja di pasar yang beroperasi selama 24 jam itu.

"Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain penyediaan asrama antara kemudahan disediakan bagi menarik pekerja tempatan mengisi kekosongan tersebut.

"Mulanya ada masalah dapatkan tenaga kerja tempatan, ada yang hanya bertahan selama sehari sahaja namun lama kelamaan masalah itu dapat diatasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!