Polisi lupus kenderaan tidak semestinya diluluskan untuk dilaksana

Rozmi Ismail
Rozmi Ismail
A
A
A
SHAH ALAM - Cadangan pakar pengangkutan agar kenderaan berusia lebih 10 dilupuskan hanyalah berdasarkan polisi negara luar yang telah berjaya dilaksanakan.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rozmi Ismail menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa polisi tersebut akan dilaksanakan di negara ini, malah polisi seperti itu tidak semestinya diluluskan untuk dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, kajian implementasi polisi lupus kenderaan (ELV) masih lagi dijalankan dan pelbagai aspek akan diambil kira untuk melihat kesesuaiannya dengan termasuk soal bebanan kepada rakyat.

"Banyak negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah berjaya laksanakan polisi itu tetapi saya tegaskan sekali lagi, ia tidak semestinya akan diluluskan di negara ini.

"Namun saya kesal dan terkilan apabila ada netizen yang menyerang peribadi saya ekoran tidak berpuas hati dengan perkara ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kajian polisi ELV sedang dilaksanakan sebagai mekanisme mengatasi masalah kenderaan buruk yang ditinggalkan di merata tempat yang merosakkan pemandangan dan menjejaskan alam sekitar. Begitu juga jumlah kenderaan lama yang masih dipakai ditambah pula kenderaaan baru yang sentiasa bertambah saban hari di jalan raya hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Beliau menjelaskan, menerusi polisi itu had usia dan ciri-ciri keselamatan sesebuah kenderaan yang boleh digunakan akan ditetapkan.

Mengulas lanjut, Dr Rozmi memberitahu, beliau bersifat terbuka sekiranya netizen memberi pandangan berbeza atau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut atau menyatakan pendirian tidak bersetuju berdasarkan kenyataannya.

"Tapi sebaliknya telah berlaku kerana ada yang sampai membuat poster guna gambar saya dan gelarkan saya dengan pelbagai gelaran yang menjatuhkan maruah. Saya telah kenal pasti netizen-netizen berkenaan. "Jadi saya minta mereka tampil memohon maaf secara terbuka dan menarik semula semua bentuk serangan peribadi itu," tegas beliau.

Kata Dr Rozmi lagi, sekiranya tidak ada apa-apa tindakan daripada netizen yang telah dikenal pasti itu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang iaitu menyaman individu-individu berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!