Selangor berhati-hati turunkan Brendan
PENGANDALI Selangor FC, Michael Feichtenbeiner mengambil langkah-langkah berhati-hati sebelum menurunkan pemain bintangnya, Brendan Gan pada perlawanan selepas ini.
Jurulatih kelahiran Jerman itu berkata, pihaknya perlu melihat sejauh mana kemampuan pemain berusia 34 tahun selepas berehat panjang sebelum ini atas masalah kesihatan yang dihadapinya.
Malah katanya, tindakan itu turut dibuat bagi memastikan khidmat Brendan dapat terus digunakan selepas ini bagi mengharungi jadual perlawanan yang padat dalam beberapa minggu mendatang.
“Kita kena lihat bagaimana tubuhnya memberi maklum balas dan sebab itu kita kena berhati-hati dengannya. Kita bertuah kerana berjaya mendahului 3-0 (ketika menentang Sarawak United) dan mengambil risiko untuk menggantikannya.
"Mungkin dia boleh beraksi selama 10 minit lagi tetapi kita berpendapat perlu merehatkannya memandangkan akan berdepan jadual yang padat dalam beberapa minggu ini.
"Kita tidak boleh memaksanya untuk beraksi kerana tidak mahu dia mengalami kecederaan serius. Dia akan kembali dalam keadaan yang lebih baik dalam beberapa minggu selepas ini," katanya.
Selepas hampir setahun menyepi susulan disahkan menghidap kanser testis pada Julai tahun lalu, kapten Selangor itu kembali memperkuatkan skuad gergasi merah ketika pasukannya menumpaskan Sarawak United 7-0 dalam aksi Liga Super pada Ahad lalu.
Lebih manis lagi, pada perlawanan berkenaan, pemain itu berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring apabila meledak gol awal buat Selangor pada minit ketujuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!