Thailand haram guna ganja di universiti

Seorang pelanggan wanita mengambil gambar daun ganja kering di sebuah restoran di Prachinburi, Thailand. - AFP
Seorang pelanggan wanita mengambil gambar daun ganja kering di sebuah restoran di Prachinburi, Thailand. - AFP
A
A
A

BANGKOK - Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi (MHESI) Thailand melarang penjualan makanan dan minuman berasaskan ganja untuk tujuan rekreasi di universiti dan agensi di bawah kementerian itu, lapor Bangkok Post.

Menteri MHESI, Anek Laothamatas menandatangani satu pengumuman yang bertujuan mengawal penggunaan ganja di premis tersebut dengan serta merta.

Pengumuman tersebut menyatakan universiti dan agensi di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Awam dikehendaki mematuhi peraturan ketat kementerian mengenai penggunaan ganja dan undang-undang lain yang berkaitan.

Tambahnya, pelajar universiti dan kakitangan agensi turut tidak dibenarkan menggunakan ganja secara rekreasi manakala eksekutif universiti dan ketua agensi diminta mengharamkan jualan makanan dan minuman mengandungi ganja.

Kedua-dua pihak itu turut diberitahu untuk menganjurkan aktiviti atau menghasilkan media untuk mendidik pelajar, kakitangan dan orang sekeliling mengenai penggunaan ganja yang sewajarnya dengan bertujuan menangani kesan berbahaya terhadap kesihatan.

Menurut kementerian, penggunaan ganja bagi tujuan perubatan mesti dipantau oleh pegawai profesional perubatan dan kajian mengenai tumbuhan itu perlu dikawal selia oleh eksekutif universiti.

Sebelum ini, Dekan Fakulti Perubatan Hospital Siriraj di Universiti Mahido, Dr Prasit Watanapa telah melarang penggunaan ganja dalam makanan dan minuman di premis dalam universiti. - Agensi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!