KPDNHEP Pahang bongkar kegiatan selewang diesel, gas memasak

Muhamad Radzi menunjukkan antara tangki berisi minyak diesel yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah stor simpanan haram di tepi Sungai Kuantan, Batu 3 di sini.
Muhamad Radzi menunjukkan antara tangki berisi minyak diesel yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah stor simpanan haram di tepi Sungai Kuantan, Batu 3 di sini.
A
A
A
KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai penjaga stor simpanan minyak diesel haram nekad terjun ke Sungai Kuantan bagi mengelak ditahan selepas lokasi itu diserbu sepasukan Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, pada Isnin.

Suspek berjaya meloloskan diri namun pemeriksaan lanjut di kawasan itu membawa kepada penemuan lima tangki berisi 7,000 liter minyak diesel bernilai RM31,500 dipercayai cuba diselewengkan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, turut ditemui pam minyak yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel tersebut.

Menurutnya, bekalan minyak diesel itu dipercayai untuk dibekalkan kepada bot-bot nelayan.

"Kami tidak menolak kemungkinan suspek yang berjaya melarikan diri itu turut bertindak sebagai penjaga pam untuk memindahkan diesel kepada bot-bot nelayan yang singgah.

"Hasil pemantauan yang dijalankan pada malam hari berkenaan, kita dapati ada bot cuba singgah di jeti yang menempatkan pam minyak itu namun segera beredar selepas menyedari kehadiran Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP," katanya pada sidang akhbar di lokasi rampasan di sini pada Selasa.

Muhamad Radzi (kiri)menunjukkan antara tong gas yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang dijadikan stor simpanan haram di tepi Sungai Kuantan, Batu 3 di sini.
Muhamad Radzi (kiri)menunjukkan antara tong gas yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang dijadikan stor simpanan haram di tepi Sungai Kuantan, Batu 3 di sini.

Muhamad Radzi berkata, pihaknya turut merampas semua tangki dan pam minyak yang digunakan dengan nilai rampasan keseluruhan RM53,500.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di kawasan itu hari berikutnya, pihaknya mengesan sebuah kontena mencurigakan yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi rampasan minyak diesel.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu digunakan untuk menyimpan 57 tong gas memasak.

"Dalam pemeriksaan itu, pihak penguat kuasa menahan seorang lelaki berusia 60 tahun disyaki pemilik kontena dan tong-tong gas itu untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, semua tong gas bernilai lebih RM6,000 itu turut dirampas.

"Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Muhamad Radzi berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga 21 Jun tahun ini, KPDNHEP Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 32,457 premis melibatkan pelbagai peringkat perniagaan.

"Daripada jumlah itu, 370 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan RM39,411 dan nilai kompaun RM227,300," katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP Pahang memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya petrol dan diesel yang merugikan pihak kerajaan sekaligus mengagalkan usaha dalam menyalurkan bantuan kepada golongan disasarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!