Banyakkan liga tempatan untuk cungkil bakat: Cheng Hoe
LIGA tempatan seperti Piala Menteri Besar Kedah 2022 perlu diperbanyakkan kerana mampu mencungkit bakat pemain-pemain muda untuk diketengahkan bagi mewakili pasukan negeri dan juga kebangsaan suatu hari nanti.
Menurut bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, pemain-pemain muda di peringkat akar umbi perlu terlibat dengan pertandingan dari semasa ke semasa bagi membina karakter dan juga kualiti seorang pemain bola sepak yang berdaya saing.
"Piala Menteri Besar Kedah 2022 ini adalah satu pertandingan yang baik kerana mampu mencungkil bakat pemain yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap lebih banyak lagi kejohanan seperti ini dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana pertandingan demi pertandingan yang disertai secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan, taktikal dan moral pemain secara tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas ditemui selepas Majlis Undian Piala Menteri Besar Kedah 2022 di Dewan Seri Melor, Kediaman Menteri Besar Kedah, Alor Setar pada Selasa.
Sebanyak 15 dari 35 pasukan layak ke peringkat kumpulan iaitu Sungai Tiang, Pengkalan Kundur, Kuah, Kota Darul Aman diundi dalam Kumpulan A manakala Ayer Hitam, Belantek, Bandar Baharu, Bukit Lada diundi dalam Kumpulan B.
Bagi kumpulan C pula menempatkan Pedu, Bukit Selambau, Guar Chempedak, Bukit Kayu Hitam dan Kumpulan D membabitkan Lunas, Pantai Merdeka serta Bayu.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe yang juga bekas Ketua Jurulatih Kedah berkata, skuad Sang Kenari juga terkenal dengan pemain-pemain tempatan terdiri daripada anak tempatan yang diserap masuk dari liga-liga tempatan di negeri tersebut.
"Dari dulu lagi ramai bakat-bakat bagi skuad utama Kedah diserap dari liga-liga Kedah. Saya harap KFA boleh memperbanyakkan lagi pertandingan seumpama ini supaya bakat-bakat dari negeri ini tidak ketandusan.
"Teruskan pertandingan seperti ini kerana proses sebegini yang mampu mengangkat sedikit demi sedikit bakat pemain muda ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!