Lelaki ditahan serang, tumbuk dua anggota polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana menyerang dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di Taman Sri Manja di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek, seorang lelaki tempatan merangkul leher dan menumbuk muka anggota polis berkenaan yang ingin menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

"Kejadian berlaku semasa seorang anggota polis bersama rakan setugasnya sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal dan telah diminta oleh seorang orang lelaki awam untuk menjalankan pemeriksaan terhadap suspek.

"Suspek yang berada di dalam sebuah kereta di kawasan berkenaan diarahkan untuk keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan badan sebelum tiba-tiba merangkul leher mangsa dan terus menumbuk bahagian muka dan perut mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, rakan setugas mangsa yang cuba untuk meleraikan pergelutan berkenaan turut ditumbuk oleh suspek di bahagian muka.

Katanya, kedua-dua anggota berkenaan mengalami sakit di bahagian tangan dan badan manakala suspek yang berusia 26 tahun cedera ringan akibat bergelut semasa hendak ditahan.

Fakhrudin memberitahu, hasil saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

"Semakan kes lampau mendapat suspek tiada sebarang rekod jenayah.

"Suspek direman empat hari bermula Selasa untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam bagi menakutkan daripada menjalankan tugas.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-dua sekali," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!