Polis siasat pertengkaran petugas media, peguam di mahkamah

Pertengkaran tercetus di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.
Pertengkaran tercetus di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kekecohan dan pertengkaran yang berlaku antara seorang petugas media dan peguam bela mewakili Samirah Muzaffar dalam kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di lobi Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pertengkaran tercetus antara salah seorang peguam dan jurugambar sambilan yang sedang membuat liputan perbicaraan berkenaan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati pergaduhan ini melibatkan seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai jurufoto sambilan berumur 34 tahun dengan seorang peguam juga lelaki tempatan yang berumur 50 tahun.

"Kejadian berpunca apabila keadaan sesak berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa pasukan peguam sedang menuju ke kamar mahkamah, manakala petugas media sedang membuat liputan bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan pertengkaran tercetus di perkarangan lobi mahkamah dipercayai selepas peguam yang hendak ke bilik bicara mahkamah tetapi dihalang jurugambar bertugas.

Pertengkaran dan tolak menolak kemudiannya berlaku antara peguam, S Suresh dan jurugambar terbabit hingga menyebabkan kecederaan ringan di kepala peguam itu.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, kedua-dua individu terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam di sini sebagai pesakit luar.

"Jurufoto berkenaan mengalami luka calar di leher dan lengan manakala peguam tersebut luka di bahagian dahi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, siasatan lanjut sedang dijalankan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!