Juara Liga Europa sambar khidmat Goetze
BEKAS pemain Jerman, Mario Goetze kembali semula ke Bundesliga apabila menyertai juara Liga Europa, Eintracht Frankfurt dengan kontrak selama tiga tahun, selepas dua tahun di kelab Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven.
Pemain tengah itu, yang menjaringkan gol kemenangan Jerman pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014 menentang Argentina, menemui semula prestasinya bersama kelab Belanda tersebut selepas perpindahannya dari Borussia Dortmund pada tahun 2020.
"Kelab ini telah membuat satu perkembangan luar biasa dan telah mengambil jalan bercita-cita tinggi dan menarik yang saya tidak boleh menolak tawarannya. Saya tidak sabar untuk kembali semula ke Bundesliga," kata Goetze dalam satu kenyataan Eintracht.
Pemain berusia 30 tahun itu memulakan kariernya di Dortmund sebelum menyertai Bayern Munich selama tiga tahun pada 2013 dan kemudian kembali semula ke Dortmund.
Goetze bergelut untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama di Bayern dan Dortmund dalam tempoh keduanya, mendorong perpindahan ke PSV Eindhoven.
Saingan Bundesliga bermula dengan perlawanan Eintracht menentang juara Bayern Munich di Deutsche Bank Park pada 6 Ogos ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!