PSG intai khidmat Galtier
PRESIDEN Paris Saint-Germain (PSG), Nasser al-Khelaifi mengesahkan juara Ligue 1 Perancis itu sedang berbincang dengan Olympique Gymnaste Club (OGC) Nice untuk mendapatkan khidmat pengendali Christophe Galtier bagi menggantikan Mauricio Pochettino.
"Ya, kami mempunyai senarai pendek jurulatih, kami sedang berbincang dengan Nice, ini bukan rahsia," kata Al-Khelaifi kepada media tempatan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Galtier dalam senarai gergasi liga Perancis tersebut, namun pengumuman pelantikannya perlu menunggu sehingga proses melepaskan Pochettino dimuktamadkan.
Pengendali dari Argentina itu yang dilantik 18 bulan lalu berdepan tekanan kerana gagal membantu Les Parisiens meneruskan momentum saingan Liga Juara-Juara musim lalu, apabila tersingkir di peringkat 16 terbaik.
Galtier yang menyertai Nice musim lalu selepas membawa bekas kelab Lille merangkul gelaran Ligue 1 pertama sejak 2011 dalam kempen sebelumnya.
Perkembangan terkini di Parc des Princes, Paris itu juga kelihatan menamatkan spekulasi berterusan mengenai bekas pemain hebat Perancis, Zinedine Zidane, menolak laporan bahawa kelab itu telah berbincang dengan pemenang Piala Dunia 1998 tersebut untuk menjadi pengendali baharu PSG.
“Banyak kelab berminat untuk mengambil Zinedine Zidane, termasuk pasukan kebangsaan Perancis, tetapi kami tidak pernah berbincang dengannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!