Mekanisasi bantu peneroka FELDA capai hasil 30 tan perhektar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Pendapatan tinggi yang dinikmati peneroka di Felda Gunung Besout 5 disokong oleh produktiviti hasil yang tinggi di samping kelebihan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi pada masa ini.

Ketua Peneroka Felda Gunung Besout 5, Mohd Zaki Mohamad berkata, pihaknya dapat mencapai hasil sawit yang tinggi berikutan pengaplikasian mekanisasi selain kebersamaan dan muafakat antara peneroka dengan pihak pengurusan.

“Selain faktor muka bumi dan penggunaan mekanisasi, muafakat antara peneroka dan pihak pengurusan turut menjadi salah satu penyumbang mengapa Gunung Besout 5 ini mendapat hasil yang tertinggi di seluruh Malaysia.

“Muafakat ini bermaksud apabila kami generasi dan peneroka sentiasa cakna ataupun peka terhadap perkembangan atau urus tadbir ladang.

“Walaupun di bawah pengurusan Felda ataupun koperasi, kami sebagai tuan kebun masih masuk ke kebun untuk memantau kerja-kerja ladang terutama dari segi menuai, meracun dan membaja,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, penglibatan belia yang banyak membantu dalam bidang inovasi juga menyebabkan Gunung Besout 5 memperoleh hasil sawit yang tinggi.

Mohd Zaki
Mohd Zaki

“Kita ada beberapa kumpulan belia yang terdiri daripada anak peneroka untuk melaksanakan kerja-kerja menuai buah, merumput dan meracun.

“Kebanyakan mereka akan menggunakan mekanisasi moden seperti meracun menggunakan kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) yang telah diubah suai.

“Ini secara tidak langsung membolehkan kerja-kerja ladang dibuat dengan lebih cepat, sekali gus meningkatkan kecekapan tuaian buah sawit,” katanya.

Mohd Zaki berkata, walaupun terdapat segelintir berpandangan kerja-kerja ladang kotor, panas dan memenatkan, namun hasil yang diperolehi peneroka sangat berbaloi, malah mampu mencecah pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Dia turut menzahirkan perasaan syukur kerana memperoleh pendapatan yang tinggi dan membolehkannya bersedekah dan berwakaf demi keberkatan rezeki.

“Kami memang menyokong sepenuhnya apa yang Pengerusi Felda (Tan Sri Idris Jusoh) laksanakan iaitu Program Waqaf Felda.

“Lebih kita memberi dan lebih lagi rezeki yang kita dapat kerana di situlah keberkatan kita dalam pendapatan setiap bulan yang kita perolehi,” ujarnya.

Kelab 30 Tan Felda dorong pengeluaran hasil maksimum

Sementara itu, Pengurus Felda Gunung Besout 5, Amiruddin Abu Kassim pula berkata, aspirasi Kelab 30 Tan Felda yang diperkenalkan Pengerusi Felda secara tidak langsung mendorong kepada pengeluaran hasil yang lebih maksimum, selain menambah baik sistem pengurusan sedia ada bagi mencapai keberhasilan 30 tan/hektar/tahun.

Amiruddin Abu Kassim
Amiruddin Abu Kassim

Menurutnya, bagi mencapai aspirasi tersebut, mereka menekankan penggunaan mekanisasi dalam pengurusan ladang di Felda Gunung Besout 5 iaitu antaranya penggunaan mesin tabur untuk membaja dan juga ATV.

Dari segi sumber pendapatan generasi muda yang terlibat dengan sektor ladang sawit, Amiruddin berkata, ia amat menggalakkan kerana masing-masing memainkan peranan utama dalam kerja-kerja seperti mengangkut buah tandan segar (BTS) ke kilang menggunakan lori, selain kerja-kerja menuai.

“Felda juga ada sarankan kepada kita untuk buat kerja borong kecil (KBK) dan kerja-kerja kontrak untuk merumput yang dikendalikan oleh koperasi Gunung Besout 5,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Felda Gunung Besout 5 telah berjaya mencapai 34.56 metrik tan per hektar pada 2021.

Secara puratanya, Amiruddin berkata, peneroka meraih 10 hingga 12 tan per bulan, dengan harga kelapa sawit ketika ini lebih kurang RM1,300 ke RM1,400 per tan.

“Disebabkan itu, pendapatan peneroka melebihi RM10,000 setiap orang. Justeru, untuk mendapat hasil yang tinggi seperti ini, perlunya komitmen daripada peneroka dan generasi muda untuk bersama-sama membantu dalam memastikan pengurusan lading yang teratur.

“Ini yang kita amalkan di Felda Gunung Besout 5,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!