Pahang peruntuk RM150,000 bantu pemandu teksi
KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM150,000 bagi membantu pemandu teksi di negeri ini melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat lebih 700 pemandu teksi di negeri ini dan melalui BPP Fasa 2 itu, mereka akan menerima bantuan tunai RM200 setiap orang.
Menurutnya, agihan wang bantuan itu akan dilakukan secara berperingkat.
"BPP menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan dapat dilaksanakan secara bersasar kepada penerima daripada pelbagai kluster.
"Antara penerima yang akan menerima bantuan melalui BPP Fasa 2 ini termasuk ibu tunggal dan pelajar," katanya ketika Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, BPP merupakan antara inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat yang diumumkan melalui Bajet 2022 dengan peruntukan kewangan RM30 juta.
Sementara itu katanya, isu kelewatan bantuan wang ihsan banjir di beberapa daerah di Pahang berkemungkinan disebabkan masalah teknikal.
"Mungkin ada penerima yang nama mereka tertinggal, tidak berdaftar dan sebagainya hingga berlaku kelewatan bayaran itu.
"Yang pasti kalau mereka layak, kita (kerajaan negeri) akan bagi sebaliknya, yang jadi masalah bila bantuan itu diberikan kepada mereka yang tidak layak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!