Tuntutan palsu: Empat individu dibebaskan dengan jaminan SPRM
KUALA TERENGGANU - Empat individu yang ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di pantai timur bernilai lebih RM300 juta dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam yang mewakili empat individu berkenaan, Vivek Sukumaran berkata, selepas mendengar bantahan dan hujahan beliau, Mahkamah Majistret di sini membenarkan semua mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun itu dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman selama enam hari berakhir pada Rabu.
"Kes ini masih lagi dalam siasatan dan tiada permohonan sambung reman dibuat kerana semua pihak memberikan kerjasama penuh kepada SPRM," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan GLC yang terlibat dalam bidang hartanah antara empat individu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di pantai timur bernilai lebih RM300 juta.
Tiga lagi individu yang ditahan ialah pengarah syarikat, pengurus projek dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding.
Tiga daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Terengganu, manakala seorang lagi di rumahnya di ibu negara pada Khamis lepas (16 Jun) pada jam 12 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!