Buli: Empat pelajar lelaki jalani khidmat masyarakat 160 jam
SEREMBAN - Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu memerintahkan empat pelajar lelaki senior sebuah sekolah di daerah ini menjalankan khidmat masyarakat selama 160 jam dalam tempoh enam bulan atas kesalahan mencederakan seorang pelajar tingkatan satu sekolah sama, 13 Mei lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Intan Syafinaz Roslin terhadap empat remaja tersebut yang berusia 15 dan 16 tahun setelah meneliti laporan akhlak dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan M Shanmugavel ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, mahkamah memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 160 jam dalam tempoh enam bulan.
"Selain itu, mereka turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM2,000.
"Mahkamah juga menetapkan kesemua mereka menghadiri sesi kaunseling dalam tempoh yang ditentukan oleh JKM," katanya.
Kesemua tertuduh pada 23 Mei lepas mengaku bersalah di atas pertuduhan mereka secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara memukulnya di bilik asrama sebuah sekolah di sini pada 12 tengah malam pada 13 Mei lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pada Rabu (22 Jun) untuk pendengaran laporan akhlak bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!