Penyelia asrama didakwa 26 pertuduhan palsu dokumen, terima rasuah
JOHOR BAHRU - Seorang penyelia asrama Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTI) di Bandar Penawar, Kota Tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap 26 pertuduhan memalsukan dokumen dan menerima wang suapan berjumlah RM636,000 dari Oktober 2015 hingga Januari 2020.
Tertuduh, Hazalilah Ahmad, 41, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 22, tertuduh didakwa memalsukan dokumen berkaitan bekalan makanan bermasak Islam ke SSTI bernilai RM504,752 dari 2016 hingga 2017.
Bagi pertuduhan ke 23 dan 24, dia didakwa menerima wang berjumlah RM69,743 melalui akaun Bank Rakyat suaminya, bagi kerja-kerja rasminya sebagai penyelia asrama, dari Oktober 2015 hingga Januari 2016.
Sementara pertuduhan ke 25 dan 26, tertuduh menerima wang suapan bernilai RM61,600 melalui akaun bank rakyat suaminya, dari April 2019 hingga Januari 2020.
Dia dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda serta Seksyen 165 kanun yang sama dan boleh dikenakan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang boleh didenda RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Noor Nabila Shamsudin memohon jaminan dikurangkan berikutan Hazalilah menjaga empat anak berusia dari 12 hingga 16 tahun selain perlu menjaga ibu bapanya serta ibu bapa mentuanya manakala suaminya bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau berkata, Hazalilah juga terpaksa menjaga anaknya berusia 13 tahun yang menghidap kencing manis selain menjaga ibu bapa mentuanya yang menghidap sakit jantung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua kesalahan dengan penjamin seorang warga tempatan selain pasport diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor dan tertuduh diwakili Noor Nabila.
Mahkamah menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 22 Ogos ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!