Hub makanan ringan usahawan wanita bakal dibangunkan
ISKANDAR PUTERI - Hab atau pusat makanan ringan yang diusahakan usahawan wanita di setiap daerah di negeri ini sedang dipertimbangkan untuk diwujudkan di negeri ini.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pusat terbabit akan mengangkat peranan usahawan wanita dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
"Kerajaan negeri melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) banyak menyediakan inisiatif dalam pembangunan ekonomi khusus kepada golongan wanita seperti ibu tunggal, dan juga wanita B40.
"Bagi pusat pengeluaran makanan ringan oleh usahawan wanita, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) masih memfokuskan kepada program kemahiran dan latihan berterusan.
"Jika boleh, kita mahukan hab makanan ringan ini direalisasikan secepat mungkin pada tahun hadapan, sekiranya ia melibatkan proses pembangunan, ia akan memakan sedikit masa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Kota Iskandar di sini pada Rabu.
Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pelaksanaan hab makanan ringan di setiap daerah itu disambut baik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam pertemuan baru-baru ini.
Tambahnya, bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing, pelbagai program yang disediakan antaranya Women’s Income Generating Skills Project (WINGS) (Dengan Izin), Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) dan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).
"Kita melihat usaha ini cukup penting dalam membantu golongan usahawan wanita seterusnya memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi Johor," katanya.
Mohd Hairi berkata, menerusi rekod sistem Pusat Data Usahawan (Padu), seramai 5,099 usahawan wanita telah berdaftar dari jumlah keseluruhan seramai 11,583 usahawan.
Tambahnya, daripada jumlah 11,583 usahawan itu, seramai 6,799 usahawan adalah berasaskan industri makanan termasuk pembuatan dan pemprosesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!