Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia dilaksana

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju melaksanakan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank yang melibatkan peruntukan RM800 juta bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Menurutnya, program DPAKM menawarkan kemudahan pembiayaan khusus iaitu RM300 juta bagi ternakan ayam, ruminan (RM200 juta), tanaman sayuran (RM100 juta), usahawan mikro (RM100 juta) dan masing-masing RM50 juta untuk usahawan mikro baharu dan muda.

"Had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ternakan ruminan dan tanaman sayur-sayuran ditetapkan sehingga RM5 juta manakala, RM500,000 bagi usahawan mikro, mikro baharu dan muda," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tempoh pembiayaan program DPAKM adalah sehingga 8 tahun setengah termasuk enam bulan moratorium ditawarkan kepada semua golongan sasar.

"MAFI juga giat dalam mempermudah pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu," katanya.

Ronald berkata, sehingga 21 Jun sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta telah diluluskan oleh MAFI.

Ujarnya, mesyuarat kabinet telah mengambil maklum status bekalan makanan negara yang dibentangkan oleh MAFI bagi lapan komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu, kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

"Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan Jun 2022 serta disasarkan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa," katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan-tindakan susulan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan selain memperincikan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang merentasi semua subsektor agromakanan.

"Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dalam memastikan kelangsungan bekalan dan ketersediaan makanan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!