Tekad ulangi pencapaian di Birmingham 2022

Siti Zalina (kiri) dan Emma Firyana - Foto Bernama
Siti Zalina (kiri) dan Emma Firyana - Foto Bernama
A
A
A

SANDARAN pingat emas ditetapkan tidak memberi tekanan buat pemain boling padang kebangsaan, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji untuk mempertahankan kilauan pingat itu pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Siti Zalina berkata, pada kejohanan Siri Ujian Empat Negara di Birmingham baru-baru ini, beliau melihat pasukan dari negara lain masih mencari rentak dan strategi masing-masing serta menyifatkan peluang untuk meraih pingat adalah seimbang kepada semua pemain.

"Ketika perlawanan di Siri Ujian Empat Negara disertai Ireland, Australia, Malaysia dan England baru-baru ini, pasukan negara masih dalam keadaan mengatur strategi, negara lain juga dilihat begitu. Jadi kami rasa peluang itu sama (seimbang).

"Sasaran pingat kali ini bukan hanya kepada saya dan Emma Firyana, tetapi semua pemain mempunyai peluang. Pada hari perlawanan nanti, jika taktik dan cara kami bermain tepat, kami akan dapat memberikan kejayaan buat negara," katanya.

Terdahulu skuad boling padang menerima lawatan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 Gerard Monteiro di kem motivasi pasukan berkenaan di Port Dickson pada Rabu.

Emma Firyana berkata, pasukan negara dijangka menerima tentangan sengit daripada pasukan tuan rumah England dan Scotland kerana kelebihan mereka beraksi di tempat sendiri selain sudah biasa dengan keadaan padang.

Seramai 10 pemain negara melibatkan masing-masing lima atlet lelaki dan wanita akan bersaing dalam empat acara iaitu single, pairs, triples dan fours pada temasya sukan tersebut.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Siti Zalina dan Emma Firyana menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara berpasangan wanita (pairs). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!