Zii Jia lupakan Sukan Komanwel, fokus Kejohanan Dunia

Lee Zii Jia - Foto Bernama
Lee Zii Jia - Foto Bernama
A
A
A

PEMINAT sukan tanah air terpaksa melupakan hasrat melihat jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia beraksi pada Sukan Komanwel 2022, selepas beliau sah menarik diri daripada temasya di Birmingham, England, yang dijadual pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Zii Jia berkata, beliau memutuskan untuk tidak membuat penampilan pada Sukan Komanwel disebabkan jadual padat yang diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping berhasrat memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

"Keputusan ini susah diambil.. sebab keadaan saya. Saya ambil bahagian dalam banyak kejohanan dalam tempoh singkat, saya rasa saya tidak cukup rehat dan terpaksa memilih antara Sukan Komanwel atau Kejohanan Dunia.

"Saya juga sudah maklumkan kepada anggota pasukan saya, dan kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia," katanya dalam video yang dikongsi dengan pihak media pada Rabu.

Juara Kejohanan Badminton Asia 2022 itu turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan termasuk menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Majlis Sukan Negara serta Persatuan Badminton Malaysia dan presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas sokongan mereka yang mahu melihatnya beraksi di Birmingham sebelum ini.

Walaupun tidak beraksi di Birmingham, Zii Jia tetap memberi jaminan akan memberikan aksi terbaiknya pada dua kejohanan badminton di Malaysia iaitu Terbuka Malaysia dari 28 Jun hingga 3 Julai ini diikuti Masters Malaysia dari 5 hingga 10 Julai.

Pemain kelima terbaik dunia itu akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia menentang pemain Perancis, Toma Junior Popov manakala salah seorang pemain dari peringkat kelayakan menantinya pada pusingan pertama Masters Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!