Kekurangan pekerja asing jejas ekonomi negara
EKONOMI negara nampaknya semakin pulih ekoran kesan pandemik Covid-19 apabila mencatatkan pertumbuhan tertinggi eksport dalam tempoh 44 bulan dengan nilai RM104.9 bilion pada Mac lalu.
Ini membuktikan pertumbuhan ekonomi negara telah kembali ke landasan asal dan mungkin akan meningkat ke tahap yang lebih memberangsangkan.
Namun, sejak akhir-akhir ini banyak sektor masih menghadapi pelbagai masalah lebih-lebih lagi kekurangan pekerja asing yang merencatkan produktiviti mereka.
Kerajaan sendiri menyedari hakikat itu apabila Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberi jaminan bahawa masalah kekurangan pekerja asing akan diatasi secepat mungkin apabila proses pengambilan pekerja asing membabitkan tiga negara iaitu Indonesia, Bangladesh dan Kemboja akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, ketika ini kementerian berada pada proses terakhir membabitkan prosedur pengambilan, proses teknikal dan pemeteraian memorandum dengan ketiga-tiga negara itu.
Setakat ini kementerian telah menerima lebih 200,000 permohonan pekerja asing secara dalam talian membabitkan kesemua negara berkenaan termasuk Bangladesh.
Negara kita sememangnya memerlukan ramai tenaga pekerja asing terutama sekali dalam beberapa sektor penting seperti perladangan, perkhidmatan dan pembinaan.
Sejak kehilangan ramai pekerja asing, aktiviti perniagaan dan produktiviti merosot dengan teruk sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Maka tidak hairanlah ramai majikan merayu kerajaan agar membawa masuk pekerja asing dengan segera.
Kerajaan perlulah merangka perancangan jangka masa panjang bagi memastikan masalah kekurangan pekerja asing tidak lagi membantutkan proses pemulihan ekonomi negara.
Memandangkan rakyat tempatan masih tidak berminat menceburi bidang-bidang berkenaan, yang boleh dicari kecuali mengharapkan tenaga pekerja asing.
Keengganan bekerja dalam keadaan persekitaran yang kotor, sukar dan bahaya serta upah gaji yang rendah antara punca majikan di negara kita sukar mendapatkan tenaga pekerja tempatan.
Itulah sebabnya, kita begitu menagih sumbangan pekerja asing seperti mana apa yang dilakukan mereka ketika ekonomi negara mula berkembang pesat pada lewat era 80an.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!