PRU15: BN Pahang perlu berani tampil calon muka baru
KUANTAN - Barisan Nasional (BN) dan UMNO Pahang perlu memastikan kriteria calon yang dipilih benar-benar layak, muka baru dan boleh memberikan kemenangan pada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, itu antara satu formula yang diyakini mampu mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN selepas berdepan dengan kekalahan teruk pada PRU14 lalu.
Beliau turut berpandangan sudah tiba masanya UMNO dan BN Pahang perlu keluar dari takuk lama dengan memberi nafas baharu kepada parti terbesar itu.
“UMNO dan BN juga perlu berani menampilkan lebih ramai wajah baru yang diyakini kewibawaan dalam menggalas tugas sebagai pemimpin baharu untuk rakyat Malaysia.
“Pemimpin wajah baru penting bagi memimpin calon-calon muda dalam kalangan pemuda, puteri, wanita dan ahli UMNO serta BN Pahang yang dirasakan cukup layak untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menjelaskan keutamaan kepada calon anak tempatan kerana mereka lebih mengetahui masalah di kawasan masing-masing.
Katanya, ia juga antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh kepimpinan tertinggi parti BN dan UMNO Pahang.
“Kalau kita lihat ramai anak tempatan berkebolehan, mempunyai pendidikan tinggi dan boleh menggalas tanggungjawab tetapi terpaksa diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada calon dari luar ataupun terus mengekalkan calon veteran.
“Begitupun, kita yakin dan percaya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan memberikan keutamaan kepada perkara itu demi memastikan UMNO dan BN di Pahang dapat mengekalkan kuasa di negeri ini,” katanya lagi.
Pada Selasa, Wan Rosdy mencadangkan agar BN membuat persediaan pelbagai pihak khususnya jentera parti amat penting dalam usaha melicinkan gerakan membantu UMNO atau BN mencapai kejayaan kelak.
Wan Rosdy memaklumkan BN Pahang bersama jentera Puteri UMNO negeri itu mengambil langkah awal dengan melancarkan jentera IT Puteri UMNO Pahang.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Haslihelmy berkata, UMNO perlu terus memperkukuhkan jentera pada semua peringkat sebagai persiapan menghadapi PRU15 akan datang.
Tambah beliau, PRU15 bukanlah sebagai mana senario menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti di Melaka dan Johor yang mana BN menang cukup selesa di dua negeri itu.
"Sebaliknya, persiapan menghadapi PRU15 perlu diperincikan untuk memastikan UMNO dan BN mendapat mandat rakyat termasuk terus kekal berkuasa di Pahang.
“Jadi, sebagai mana saranan Wan Rosdy, UMNO juga perlu memperkukuhkan jentera semua peringkat, untuk PRU ini bukan seperti PRN, bukan seperti biasa-biasa.
“PSAP percaya UMNO dan BN di Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan UMNO dan BN terus menjadi pilihan pengundi pada PRU15,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!