Polis jadikan 'Jalan New Zealand' sektor rondaan khusus

Polis menjadikan Jalan Temiang- Pantai yang mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' sebagai salah satu sektor rondaan khusus atau 'dedicated' terutama pada waktu siang.
Polis menjadikan Jalan Temiang- Pantai yang mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' sebagai salah satu sektor rondaan khusus atau 'dedicated' terutama pada waktu siang.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menjadikan Jalan Temiang- Pantai yang mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' sebagai salah satu sektor rondaan khusus atau 'dedicated' terutama pada waktu siang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pelaksanaan rondaan khas itu bagi memastikan orang awam tidak berhenti di bahu jalan dan lorong kecemasan selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Laluan yang mendapat jolokan New Zealand itu menarik perhatian orang ramai untuk berhenti dan bergambar serta beriadah.

"Sebagai langkah keselamatan di laluan itu, polis menjadikan jalan berkenaan sebagai satu sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang. Polis akan membuat rondaan sekurang-kurangnya dua shif sehari," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Kontinjen(IPK) Polis Negeri Sembilan pada Khamis.

Ruslan memeriksa kawalan kehormatan ketika Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan
Ruslan memeriksa kawalan kehormatan ketika Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan

Menurutnya, bagi tempoh 8 Jun hingga 20 Jun, sebanyak 43 rondaan Op Nasihat berkala dilaksanakan dan seramai 210 individu diberikan nasihat keselamatan di laluan itu.

Ujarnya, dalam tempoh Januari 2022 hinggga 21 Jun lalu, sebanyak 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya membabitkan berhenti di bahu jalan.

"Rondaan dilakukan membabitkan 173 anggota trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dan Seremban memandangkan laluan itu di bawah kawasan pentadbiran kedua-dua IPD selain turut dibantu anggota dari IPK sendiri.

"Sehingga kini berlaku dua kemalangan maut di laluan persekutuan itu membabitkan penunggang motosikal dan basikal," katanya.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat orang awam yang degil meskipun sudah diberikan nasihat dan dikeluarkan saman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!