15,154 ketua isi rumah di Johor tergolong miskin, miskin tegar

Khairin Nisa pada sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.
Khairin Nisa pada sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 15,154 Ketua Isi Rumah (KIR) di Johor dikategorikan sebagai miskin tegar dan miskin setakat bulan lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, daripada jumlah itu seramai 10,428 KIR bagi kategori miskin manakala 4,726 adalah miskin tegar.

Menurutnya, daerah Batu Pahat merekodkan miskin tegar dan miskin tertinggi seramai 2,296 KIR.

"Jumlah keseluruhan KIR yang telah disahkan dan berdaftar dalam sistem eKasih di negeri ini pada 31 Mei lalu adalah seramai 20,790 orang.

"Manakala seramai 5,636 KIR sudah terkeluar dari kategori miskin dan miskin tegar. Statistik tersebut diperoleh dari Pejabat Pembangunan Negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Samsolbari Jamali (BN-Semarang) berhubung jumlah warga yang didaftarkan dalam senarai eKasih di negeri ini pada sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis.

Khairin Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, beberapa program pembangunan ibu tunggal dan usahawan wanita sedang dirancang oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPDKT) dengan kerjasama pelbagai pihak menerusi Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor.

"Ini termasuklah membina sebuah model latihan kemahiran menjana pendapatan wanita bermula daripada kursus asas sehingga tahap tertinggi yang membolehkan wanita memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!