Kritik PM, Nur Jazlan patut guna saluran betul: Mahdzir
TELUK INTAN - Kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh pimpinan UMNO seharusnya dibuat mengikut saluran yang betul.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Ismail Sabri secara terbuka baru-baru ini sesuatu yang tidak wajar.
Beliau menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi.
“Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dan sekarang ketua bahagian, dia (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, carilah saluran yang ada dalam parti.
"Saya rasa sedih, sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan tak payah ada komen seumpama itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) di Changkat Jong, di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria; Pengerusi FPESB, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB, Wan Ramlan Wan Abdullah.
Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kritikan terbuka Nur Jazlan yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari UMNO paling lemah dalam sejarah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan kenyataan itu tidak menggambarkan UMNO dalam keadaan berpecah sebaliknya parti itu dalam keadaan baik.
Menerusi laporan sebuah portal berita, kritikan Nur Jazlan itu dibuat sebagai mengkritik tindakan Ismail Sabri yang lewat mengambil keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Ia susulan Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!